Monday, November 3, 2008

Mitsubishi Lancer Mitsubishi Lancer 2.0 GT Kenderaan Berprestasi Pilihan Ramai



Jentera ini umpama hot cake di pasaran. Malah Mitsubishi Motor Malaysia terpaksa menangguhkan sesi pandu uji ini kerana permintaan yang tinggi terhadapnya. Ianya mendapat sambutan yang begitu hebat sejak dilancarkan tahun lalu sehingga tiada kereta untuk dipandu uji.

Ramai juga rakan-rakan bertanya bila sesi pandu uji kenderaan yang sedan sport ini akan dilakukan. Menjangkakan tidak ada peluang tiba-tiba muncul e-mel, menjemput sesi pandu uji Mitsubishi Lancer GT pada bulan lalu. Kenderaan ini adalah dari generasi kelapan Lancer, sejak diperkenalkan dari tahun 1973.

Reka bentuk Ala EVO Melihat reka bentuk kenderaan ini, ada sentuhan dari model ‘abang’nya iaitu Evo. Ianya juga hasil dari prototype-X. Cukup gah dan berprestasi, buat penggemar kenderaan lumba, memiliki Lancer umpama entry level untuk ke model yang lebih tinggi lagi.

Namun bagi saya sendiri, Lancer GT sudah memadai. Rim sport 18 inci, spoiler di bonet belakang, rekaan grill racing di hadapan, sudah cukup bagi melihat kenderaan ini sebagai jentera perlumbaan. Dalaman Tetap Selesa Walaupun racing di luar, namun untuk kemasan dalaman, ianya tetap direka dengan mengutamakan keselesaan.



Walaupun dari set kulit Nappa, terutama kerusi hadapan dari jenis sport, namun ia masih selesa untuk orang biasa yang bukan kaki lumba. Tempat duduk belakang juga luas dan sesuai untuk membawa keluarga. Panel hadapan dengan empat saluran pendingin hawa menjanjikan tiada ruang panas. Meter mudah lihat, stereng dengan tukaran gear auto manual dan suis audio yang menampilkan bunyi yang berkualiti dengan 6 pembesar suara.

Tempat simpanan barang juga terdapat di beberapa bahagian. Panel hadapan dengan ton warna gelap dan sedikit sentuhan krom sebagai tambahan elemen perlumbaan. Malah ruang bonet juga luas, selain kerusi belakang boleh dijatuhkan untuk muatan yang panjang. Keseluruhan dalaman Lancer, selesa untuk apa jua tujuan.

Pemanduan Berprestasi Dengan kuasa enjin DOHC 2.0 16 injap, Lancer GT merupakan yang popular di kalangan pencabar-pencabar lain. All Wheel drive dan enjin dari aluminium blok yang ringan mampu menghemburkan 155ps kuasa yang sesuai untuk jalanan yang sesak atau lebuh raya. Ditambah dengan teknologi Mivec (Mitsubishi Innovative Valve Timing dan lift Electronic Control), merupakan sentuhan teknologi eksklusif yang mengawal masa untuk pengeluaran prestasi yang optima.

Ini terbukti ketika melalui jalan raya, terasa agak ringan memecut tetapi masih lagi stabil. Kuasa tork juga terserlah terutama menukar lorong atau dari hentian lampu isyarat. Juga dengan suspensi MacPherson dengan brek cakera depan dan belakang, keselamatan tetap diutamakan.

Antara ciri keselamatan yang ada seperti ABS (Sistem Brek Anti Kunci), EBD (Pengagihan Kuasa Brek elektronik), Bantu Brek, dan Beg udara SRS. Tukaran gear lancar dengan 6 kelajuan boleh juga untuk auto manual. Dengan CVT (Continuously Variable Transmission) dan INVECS-III, semua kelancaran dan keselesaan pemanduan dapat dirasai hasil teknologi ini. Dengan RISE (Reinforced Impact Safety Evolution), badan kereta ini direka untuk menahan penumpang dari zon hentaman.


Yang Menarik & Berbaloi

Jika melihat model dari cc yang sama pada jenama lain, sudah pasti Lancer GT ini yang paling berbaloi. Dengan enjin 2.0, reka bentuk menarik, harga yang agak kompetetif, ianya menjadi pilihan mereka yang suka akan sesuatu yang sport, tetapi masih berupaya untuk tujuan aktiviti keluarga. Dua dalam satu.

Ditambah pula dengan keadaan ekonomi sekarang dengan kesan peningkatan harga minyak, memilih kenderaan yang boleh membawa muatan dan dalam masa yang sama tetap bergaya menjadi pilihan ramai. Dengan satu isian penuh tangki minyak, ianya mampu membawa anda sejauh 540km juga mengikut cara pemanduan anda.

Pada pendapat saya, kenderaan ini merupakan sesuatu yang perlu diberi perhatian jika anda mahu membeli kenderaan baru jenama luar. Selain prestasi dan keselamatan yang selari, Lancer GT yang paling ‘panas’ di pasaran kini.

Harga atas jalan yang ditawarkan untuk kenderaan import, kuasa 2.0 yang selesa dan gaya perlumbaan ini pada harga atas jalan RM115,980 (Atas Jalan). Tiada sebab mengapa anda tidak mahu memilihnya!

Spesifikasi
Model: Mitsubishi Lancer 2.0 GT
Enjin: 1998 cc DOHC MIVEC
Kuasa: (155ps) kuasa kuda pada 6000rpm
Tork: 199 (Nm) / 4250 rpm
Transmisi: INVECS –III CVT dengan mod Sport
Kapasiti minyak: 59 liter

No comments: