Monday, November 3, 2008

Tadika swasta pilihan ibu bapa



Anak-anak yang menerima pendidikan sempurna dan terbaik sejak awal sememangnya mempunyai masa hadapan yang cerah untuk berjaya. Dahulu, ibu bapa akan menghantar anak-anak ke sekolah tadika di bawah kendalian kerajaan agar anak-anak mereka boleh belajar sedikit sebanyak mengenal huruf dan nombor. Selain itu anak diharap juga dapat belajar bergaul dan berkomunikasi dengan baik sesama rakan seusia.



Kini bila zaman semakin moden, pendidikan anak-anak lebih menjadi keutamaan ibu bapa. Untuk itu lebih banyak tadika berbayar yang lebih moden dan menepati keperluan pendidikan untuk anak-anak ditubuhkan. Malah ramai ibu bapa yang sanggup membayar mahal bagi memastikan anak mendapat pendidikan awal yang terbaik di tadika.

Jika zaman dahulu, tujuan menghantar anak-anak ke sekolah tadika adalah untuk anak-anak belajar berdikari sebelum memasuki alam persekolahan yang sebenar, namun kini sebaliknya berlaku. Disebabkan ibu bapa sibuk dengan kerja maka mereka meletakkan urusan mendidik anak kepada guru di tadika dan juga di sekolah.

Namun tidak semua ibu bapa mampu menyediakan sejumlah wang bagi menampung keperluan anak-anak mereka. Ada di kalangan ibu bapa menghantar anak-anak di tadika yang mungkin tidak diiktiraf skop pelajarannya ibarat melepaskan batuk di tangga.

Sejajar dengan kemajuan ekonomi dan perkembangan sektor pendidikan, ibu bapa sepatutnya telah bersedia sejak dari awal lagi untuk memenuhi keperluan pendidikan anak-anak. Oleh itu, tadika bagaimanakah yang menjadi pilihan ibu bapa pada masa kini? MW meninjau komen daripada para ibu.

Artikel penuh di dalam MW minggu ini.


Teliti aspek keselamatan, pengisian pelajaran dan kebersihan.

- Hajah Mahanom Haji Basri, Presiden Persatuan Taska Negeri Selangor

“Pada pendapat saya, ibu bapa bebas untuk menghantar anak-anak mereka sama ada di taska yang murah bayaran yurannya atau yang mahal. Tetapi harus diingat, tidak semesti yang mahal itu terbaik dan yang murah itu tidak berkualiti. Apa yang perlu diberi keutamaan oleh para ibu bapa sebelum menghantar anak-anak mereka ke taska ialah memastikan terlebih dahulu pengisian pelajaran yang ditawarkan di taska tersebut kerana ia merupakan salah satu perkara utama yang perlu diberi perhatian. Di samping itu, pastikan juga tenaga pengajar di tadika tersebut terlatih dan telah mengikuti kursus seperti yang telah ditetapkan.

"Satu lagi aspek kebersihan memainkan peranan penting sebelum ibu bapa mengambil keputusan untuk menghantar anak-anak ke taska itu. Jangan hanya pandang dari segi luaran sahaja kerana ibu bapa juga perlu memastikan bahawa setiap taska mestilah berdaftar dan mempunyai lesen perniagaan yang sah.

"Walau pun taska bukanlah satu bentuk perniagaan, namun pihak berkuasa tempatan akan memberikan lesen yang sah kepada taska-taska yang berdaftar. Lesen-lesen ini biasanya dipaparkan oleh pihak pengusaha taska untuk makluman ibu bapa. Di samping itu juga antara aspek-aspek lain yang perlu diambil perhatian oleh ibu bapa sebelum menghantar anak mereka ke taska ialah membuat penelitian dari aspek keselamatan seperti keselamatan bangunan yang dijadikan taska, premis mestilah mendapat kelulusan keselamatan daripada bomba dan kelulusan daripada Jabatan Kesihatan iaitu dari segi tahap kebersihan penyediaan makanan.

"Sebagai perlindungan, tenaga pengajar dan mereka yang bertanggungjawab menyediakan makanan untuk kanak-kanak di taska, dimestikan mendapat suntikan khas bagi mengelakkan penyakit berjangkit kerana seperti yang kita ketahui, kanak-kanak mudah mendapat penyakit. Jadi sebagai langkah pencegahan, suntikan ini berfungsi sebagai pelindung. Pokok pangkalnya apa yang paling penting sebelum ibu bapa menghantar anak-anak ke taska, teliti terlebih dahulu aspek-aspek penting ini,” jelas Hajah Mahanom.








No comments: