Monday, November 3, 2008

Pada Perjuangan Ada Cinta Dan Sebaliknya......

Aku tak ingat bila aku beli buku atau lebih tepat rasanya novel berjudul Arca Berdiri Senja karya Baharuddin C.D.. Seingat aku, ini antara novel terbaik sebelum Cinta Hari-Hari Rusuhan yang ditulis Faisal Tehrani sekitar zaman Reformasi 1998. Lain-lain tidak lebih dari membukukan pengalaman misalnya Bersama Anwar ke Penjara karya Kamaruzzaman Yaakob, mantan Presiden PMUM di zaman kebangkitan pelajar 70-an.

Novel ada bahasanya tersendiri dan elemen kreatif yang luas padanya selalu membuat aku cemburu kepada 'tangan-tangan berhantu' yang sering 'memaksa' aku menghargainya terlepas dari soal setuju atau tidak pada buah pandangan yang cuba dituntas.

Arca Berdiri Senja ini aku dapatkan di sebuah kedai hujung terletak di Pudu Raya (maaf aku lupa namanya, yang ada gambar TG Nik Aziz tu). Ia seputar lewat rencah hidup aktivis pelajar dekad-dekad yang lalu bertarung dengan zaman muda mereka: antara cinta, cita-cita dan idealisme.

Jujurnya aku sudah tidak tahu di mana letaknya novel ini. Semasa di kolej, buku aku yang ratusan buah - tebal dan tipis - tidak tahu hendak dimuatkan di mana. Sudahnya bawah katil dan atas tilamku penuh buku. Dan aku kadangkala tidur berteman buku-buku ini selain bergelimpangan di atas tikar sahaja. Mungkin kerana separuh dari wang PTPTN telah ku habiskan untuk buku dan mengikat perut, sering keluar peringatan tegas dari mulutku pada mereka yang 'meminjam' - "aku boleh hilang kawan kerana buku".

Ah, ini mengingatkan aku kepada Pak Khalid dalam catatannya pada sebuah buku yang disedekahkannya kepada Rumah Penulis Abdullah Munsyi bahawa barangsiapa mencuri buku tersebut akan didakwa di akhirat!

Ya, pada perjuangan ada cinta dan tidak ramai mahu memahaminya.

Seorang teman selalu mengingatkan aku bahawa ada pertarungan sengit antara cinta dan cita-cita. Seorang teman lain, di celah kesibukan nama DS Anwar di mana-mana sempat bergurau "Anwar pun kahwin umur 33, tak lewat sangat aku ni..". Bagi yang ralat dengan gurauan tentu tidak senang dengan kenyataan ini kerana kita maklum Nabi s.a.w. berkahwin pada usia 25 tahun.

Pada perjuangan ada cinta dan pada cinta ada perjuangan.

Ia tak semudah berkata dari merasa.

Penjara adalah ujian bagi mereka yang setia.

Ya, setia pada cinta dan perjuangan - kedua-duanya. Tanpa sedar air mata diseka...

Tabahlah kalian yang diuji kerananya.

1 comment:

faqhrule said...

saya suka cara anda bermain ayat dan bahasa. cantik..gaya anda menulis santai..bagus saya kagum!